Siaran Akhbar dan Foto : Jabatan Majlis-Majlis Mesyuarat
GENEVA, SWITZERLAND, Khamis, 23 Oktober. - Majlis Mesyuarat Negara (MMN) telah menghadiri Mesyuarat Perhimpunan 151st Assembly of the Inter-Parliamentary Union (IPU) dan Mesyuarat-mesyuarat Berkaitan pada 20 hingga 23 Oktober 2025, bertempat di Geneva International Conference Centre (CICG), Switzerland.
Perhimpunan pada tahun ini membawa tema 'Upholding Humanitarian Norms and Supporting Humanitarian Action in Times of Crisis', yang telah menekankan kepentingan memperkukuh usaha kemanusiaan dan peranan parlimen dalam melindungi golongan yang terjejas akibat konflik, bencana dan krisis global.
Sesi Perbahasan Umum (General Debate) telah memberikan tumpuan kepada peranan parlimen dalam memperkukuh undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan menyokong tindakan kemanusiaan di kawasan yang dilanda konflik dan bencana.
Ini termasuk tindakan bertanggungjawab termasuk bantuan kemanusiaan kepada mangsa peperangan terutamanya di Palestin. Perbahasan umum juga menyentuh pendekatan keamanan, pembangunan, kesihatan dan perubahan iklim bagi memastikan kesejahteraan masyarakat sejagat.
Jawatankuasa-jawatankuasa Tetap IPU juga telah bersidang bagi membincangkan isu-isu khusus dalam bidang keamanan, hak asasi manusia, pembangunan mampan dan hubungan antarabangsa. Jawatankuasa Pembangunan Mampan (Sustainable Development), menumpukan perbincangan kepada peranan parlimen dalam perlindungan perdagangan, tarif, pengelakan cukai korporat dan kesan perubahan iklim.
Jawatankuasa Hal Ehwal Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Affairs) telah membincangkan sistem pelbagai hala serta usaha memperkukuh kerjasama dalam menghadapi cabaran global. Forum Ahli Parlimen Muda menumpukan kepada usaha memperkasa penyertaan dan kepimpinan belia dalam parlimen.
Mesyuarat Governing Council membincangkan laporan aktiviti IPU dan kemajuan pelaksanaan IPU Strategy 2022-2026. Mesyuarat berkenaan juga telah meluluskan belanjawan, pelan tindakan wanita dalam parlimen, pindaan kepada Statut dan Peraturan IPU serta mempertimbangkan permohonan bagi keahlian termasuk bagi MMN, Negara Brunei Darussalam (NBD).
Perhimpunan diakhiri dengan pembentangan laporan Jawatankuasa Tetap, penerimaan hasil Perbahasan Umum, serta kelulusan resolusi-resolusi dan pindaan statut IPU.
Delegasi MMN, NBD diketuai oleh Yang Di-Pertua MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Lela Dato Seri Setia Awang Haji Abdul Rahman bin Dato Setia Haji Mohamed Taib.
Yang Di-Pertua MMN turut disertai oleh Ahli-ahli MMN, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Indera Pahlawan Dato Seri Setia Awang Haji Suyoi bin Haji Osman dan Yang Berhormat Awang Zainol bin Haji Mohamed, Ketua Kampung Putat.